Archive for March 2015

ARTIS BERJAYA KERANA SIAPA????


Ini antara artis-artis seni Nusantara yang berjaya dan popular:-

1- Siti Nurhaliza... 
2- Kris Dayanti....
3- ANUAR ZAIN....
4- MAWI.... 
5- Ahmad Dhani (Kumpulan Dewa)......dan ramai lagi....
 


Mereka sesungguhnya sekarang amat senang lenang.... bergaya... hidup mewah..... malah sedang MENIKMATI HIDUP dengan penuh kualiti dan pasti cerah masa hadapan mereka.....

Namun pernah kah kalian semua terfikir.... apakah dan siapakah menjadikan mereka sebegitu secara totalnya????....



Jawapannya ialah KAMU SEMUA!!!!
Kamulah PENYOKONG SENI nusantara adalah orang-orang yang sebenar-benarnya menjadikan mereka sebegitu......

Tanpa kamu semua.... siapakah mereka sebelumnya..... mereka hanya seperti kita...
Namun di manakah mereka sekarang.....
dan juga.... di manakah kamu sekalian di letakkan sekarang????....
Ada mereka Kisah???!!!!!....


Bukan cemburu... bukan menghasut......malah bukan untuk membuat provokasi....
tetapi ia adalah fitrah kehidupan manusia..... 

HAK HARUS DI BAHAGI SAMA RATA!!!!

BUDI HARUS DI KENANG....!!!!

SUSAH SENANG HARUS BERSAMA-SAMA...!!!!!

Kamu semua SEPARUH daripada kejayan mereka..... kita harus tuntut sedikit kejayaan itu demi keharmonian hidup!!!

SEKIAN. TERIMA KASIH!!!


JOM JOIN PERSATUAN PENYOKONG SENI MALAYSIA

 
Wednesday, March 25, 2015
Posted by King Faizal

Penganjur SwitchOff 14 ‘dihukum industri’, kata Shabery


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tidak tahu mengenai penganjuran kempen "SwitchOff 14" oleh gabungan persatuan penggiat televisyen, industri filem dan pengiklanan, sebaliknya berkata mereka yang memilih jalan penyelesaian selain dialog akan “dihukum oleh industri".
Shabery yang ditemui selepas Taklimat Pasca Bajet 2015 kepada Industri Kandungan Digital Kreatif di Angkasapuri, Kuala Lumpur malam tadi berkata, terdapat pelbagai saluran untuk mana-mana pertubuhan industri kreatif melahirkan pandangan mereka kepada kerajaan. 
"Kita ada forum industri kreatif, mungkin mereka ada pandangan yang kita boleh bangunkan. 
"Kalau ada orang memilih jalan lain daripada dialog dan berbincang, mereka akan dihukum industri itu sendiri bukan kami," kata Shabery kepada pemberita. 
Switch Off 14 adalah kempen yang digerakkan presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) Jurey Latiff Rosli bagi membela nasib pekerja industri kreatif tanah air untuk masa depan yang lebih baik. 
"Switch off ke switch on dan sebagainya, saya tidak tahu matlamat sebenarnya," kata Shabery. 
Switch Off 14 dilancarkan secara rasmi di Kelab Sultan Sulaiman, baru-baru ini bakal mengadakan himpunan pada 11 November depan bagi menyuarakan tidak puas hati mereka terhadap layanan stesen televisyen tempatan terhadap penggiat seni.
Gabungan berkenaan terdiri daripada 10 persatuan penggiat seni tempatan termasuk pelakon, kumpulan krew penerbitan dan pengiklanan.
Berdasarkan rancangan Switch Off 14, mereka juga akan menyerahkan memorandum kepada Putrajaya pada tarikh berkenaan yang mengandungi 11 tuntutan.
Jurey yang ditemui malam tadi berkata, Switch Off 14 dijangka menganjurkan perhimpunan mereka di perkarangan ibu pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada 11 November. 
"Kita memikirkan beberapa tempat, tetapi mungkin kita akan buat di dalam Finas. Kita akan hantar surat minta kebenaran. 
 "Kita harap menteri akan hadir bersama orang  industri," kata Jurey kepada pemberita. 
Beliau juga optimis perhimpunan yang akan diisi dengan aktiviti kesenian seperti tarian, nyanyian, deklamasi sajak dan puisi itu akan menerima sambutan daripada penggiat seni kreatif tempatan. 
"Dalam masa terdekat kita berbincang mungkin adakan pertemuan dari hati ke hati (dengan menteri)," kata Jurey. 
Selain kempen di laman media sosial, Switch Off 14 menyeru pengguna televisyen menjimatkan penggunaan elektrik mereka pada 11 November itu dengan tidak menonton televisyen bermula jam 8 malam hingga 11 malam.
Antara mereka yang kelihatan ketika pelancaran Switch Off 14 ialah pelakon terkenal tanah air seperti Fauziah Nawi, Harun Salim Bachik, Imuda, Zed Zaidi dan Norish Karman.
Kumpulan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Finas sebelum ini membantah Switch Off 14 kerana beranggapan demonstrasi bukan tindakan terbaik untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.
"Kita nyatakan masalah dan juga berikan jalan penyelesaiannya. 
"Kami tidak menuduh sesiapa yang bersalah, tapi mahu melihat masa depan yang lebih baik untuk industri," kata Jurey. 
Antara 11 gesaan Switch Off 14 adalah mewujudkan akta industri kandungan kreatif; menekankan hak harta intelek yang adil dan munasabah; menaikkan kadar harga dengan menyelaraskan harga slot kandungan di stesyen TV; pengagihan slot TV yang lebih adil dengan menekankan 70% kandungan tempatan; dan penguatkuasaan polisi buatan Malaysia dan paducitra.
Selain itu, mereka menggesa kerajaan menubuhkan satu badan atau pusat sehenti yang mengawal selia televisyen secara langsung; melantik wakil industri yang dipersetujui pemain industri dalam peranan membuat dasar industri; menyediakan slot TV khusus berbentuk patriotik; skim pengecualian cukai syarikat korporat yang menaja penerbitan program TV tempatan bagi pembelian peralatan teknikal; skim insurans khusus; dan dana dan geran khusus untuk memajukan industri TV tempatan.
Memorandum berkenaan dijangkal diserahkan kepada Shabery ketika perhimpunan mereka nanti. – 24 Oktober, 2014.

Monday, March 23, 2015
Posted by King Faizal

Seniman Mahu Campurtangan UMNO Tangani Masalah Industri Kreatif


KUALA LUMPUR 12 Nov - Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mahu melihat parti keramat UMNO yang juga pemerintah kerajaan persekutuan dapat menjadi pejuang dan menjuarai segala permasalahan di dalam industri kreatif tanah air.
 
Presidennya Zed Zaidi berkata, kerajaan pemerintah akan mengalami kerugian sekiranya tidak mengambil prihatin terhadap karyawan-karyawan dan anak-anak seni berhubung permasalahan mereka.
 
"Setelah berbincang dengan Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Jamawi Jaafar, suara akar umbi (penggiat seni) ini perlu di angkat ke perhimpunan Agung UMNO nanti. Tujuan utama kita adalah untuk melihat UMNO memperjuangkan dan menjuarai tetang permasalahan industri kreatif negara. 
 
Jika kita (penggiat seni) dipinggirkan maka UMNO dan kerajaan akan kerugian besar. Kita perlu membantu dan mengangkat industri kreatif ini ke tahap yang lebih tinggi dan profesional. Kebajikan yang lebih terbela dan terjaga seterusnya meningkatkan produktiviti dan kualiti yang berkesan."
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui RakyatNews selepas menghadiri perhimpunan Malam Solidariti Penggiat Industri Kreatif Tanahair 'Switch Off' 2014 anjuran The Federation of Screen Guild Malaysia (GAFIM) yang berlangsung di Dataran Zoo Negara malam tadi.
 
Zed Zaidi, Switch Off 14, Industri Kreatif, Seniman, Rakyat News
 
Hadir sama, Presiden GAFIM Jurey Rosli, Setiausaha GAFIM Yusof Kelana, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Jamawi Jaafar, Presiden Malaysia Accredited Association of Commercial Film Makers (PPFIM) Khoo Kay Lye, Presiden Film Directors Association of Malaysia (FDAM) Othman Hafsham, Presiden Malaysian Indian Film Producer and Director Association Muraalie Kannan AMP dan penggiat Industri Kreatif Gibran Agi.
 
Sebelum ini, Jamawi Jaafar dalam ucapannya di dalam perhimpunan berkenaan berhasrat untuk mengangkat isu-isu berbangkit di dalam industri seni tanahair ke peringkat tertinggi dalam kerajaan seterusnya diharap berupaya merungkai permasalahan golongan penggiat industri kreatif itu.
 
 
Kempen Switchoff ‘14 pada hakikatnya merupakan satu cetusan yang lahir atas usaha karyawan-karyawan industri konten kreatif yang selama bertahun-tahun berusaha untuk memperbaiki lanskap industri negara. Kempen yang dinaungi oleh GAFIM dan disokong lebih 10 persatuan ini adalah suatu inisiatif untuk memperbaiki taraf hidup warga kerja industri dan pada masa yang sama membangunkan masa depan industri konten kreatif Malaysia.
 
Melalui kempen ini, warga kerja bersatu menyuarakan pandangan mereka dengan mengangkat pernyataan 11 Perkara, iaitu 11 cadangan yang disampaikan demi melahirkan ekosistem industri yang lebih adil, efisyen dan efektif. Dalam proses melaksanakan kempen ini, usaha murni ini telah menjadi satu platform berkesan untuk menyatukan-padukan seluruh karyawan industri buat pertama kali. Kesatuan penggiat industri menerusi kempen Switchoff tidak pernah dilihat sebelum ini dan merupakan pertama kali dalam sejarah industri.
Posted by King Faizal

Masalah industri kreatif Asia


Masalah industri kreatif Asia

PENGUASAAN dalam bidang informasi, pengetahuan dan kreativiti kini menjadi fokus utama dalam perkembangan budaya global. Impak daripada kedudukan ini membawa kepada perkembangan teknologi dan industri yang memanfaatkan kemampuan seni manusia.
Sejak pertengahan tahun 1990-an, perkembangan bidang informasi, pengetahuan dan seni turut melahirkan wacana mengenai industri kreatif yang saat ini telah menjadi fenomena global.
Selain di negara maju, perkembangan industri kreatif juga tumbuh secara pesat di beberapa negara membangun seperti China, India, Brazil, Argentina termasuk beberapa negara Afrika seperti Burkina Faso.
Sektor ekonomi kreatif di negara-negara tersebut menyumbang sekitar tiga peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) - satu jumlah yang cukup besar.
Malah, di negara maju seperti Britain dan Belanda, sektor tersebut telah menyediakan peluang pekerjaan hingga 30 peratus menjelang akhir tahun 2004.
Di kedua-dua negara tersebut, peluang pekerjaan dalam sektor industri kreatif mengalami peningkatan mendadak mencecah lebih 35 peratus pada tahun lalu.
Seni kreatif juga menjadi ruang dan peluang perkembangan ekonomi yang cukup berpotensi di negara-negara Asia berikutan peningkatan teknologi komputer dan digital terutama dalam bidang animasi.
Malaysia sendiri menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dalam sektor tersebut. Ia bukan sahaja dalam sektor perfileman, seni suara tetapi juga animasi, kartun serta karya seni tampak.
Oleh itu, industri kreatif secara umumnya yang merangkumi pelbagai cabang seni termasuklah seni persembahan pentas seperti muzik, tarian, teater dan juga seni visual.
Pada hakikatnya, di celah-celah perkembangan pesatnya, industri kreatif sebenarnya sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran semasa sesuai dengan evolusinya yang sentiasa berkembang pesat.
Bagaimanapun, kesemua cabang seni itu terutamanya yang berlatarbelakangkan seni dan budaya setempat (Malaysia) paling banyak berdepan dengan pelbagai cabaran getir dalam usaha pihak-pihak tertentu untuk meneruskan kelangsungan sesuatu kesenian tersebut.
Fenomena itu sebenarnya bukan setakat berlaku dalam dunia kesenian tempatan, tetapi ia juga merupakan masalah global. Bagaimanapun jalan keluar mesti ditemukan. Ia memerlukan anjakan, jalan penyelesaian selain sokongan daripada semua pihak.
Antara masalah yang sering timbul dalam industri ini ialah soal pengurusan, polisi, penyelidikan dan identiti sesebuah kesenian dalam konteks berteraskan seni budaya tempatan yang boleh mengembangkan jati diri masyarakat sesebuah negara.
Persoalan-persoalan dan jalan keluar daripada masalah tersebut merupakan antara perkara yang diketengahkan dalam Persidangan Antarabangsa - Seni Persembahan Sebagai Industri Kreatif di Asia (PACIA 08) yang diadakan di Auditorium Perdanasiswa, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Persidangan yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Chancelor (Pembangunan) UM, Prof. Dr. Khaw Lake Tee itu menampilkan ramai pembentang kertas kerja yang terdiri daripada ahli-ahli akademi dari luar negara bagi membentangkan topik-topik yang berkait rapat dengan permasalahan tersebut.
Prof. Dr. Ghulam Sarwar Yousof dari UM misalnya, cuba mencari jalan keluar kepada polemik akibat pertembungan seni moden dalam kesenian Mak Yong.
Sedangkan menurut Ghulam Sarwar, Mak Yong merupakan cabang kesenian masyarakat Melayu yang mempunyai sejarah serta hubung kaitnya dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
Seni persembahan mula bertapak di alam Melayu sejak era animisme lagi iaitu zaman di mana ketika itu masyarakat Melayu masih bergantung kepada kuasa-kuasa mistik.
Mak Yong bukan sahaja dikategorikan dalam seni persembahan yang agak malap sejak kebelakangan ini, tetapi pada masa sama berlaku pertembungan peradapan yang mengaitkannya dengan unsur budaya dan agama luar terutamanya pengaruh Siam yang cukup kuat.
Prof. Dr. Rahayu Supanggah dari Sekolah Tinggi Seni, Solo, Indonesia dalam kertas kerjanya yang bertajuk Seni Tradisional Dalam Dunia Industri yang antara lain tidak menafikan tentang cabaran globalisasi yang berlaku dalam dunia perfileman di negaranya.
Suatu ketika dulu, Indonesia saban tahun menghasilkan tidak kurang daripada 20 buah filem, tetapi pada tahun 1998 dan 1999 hampir tiada filem tempatan yang dihasilkan di negara itu.
Antara faktor yang mendorong situasi itu ialah ‘putaran ganas’ yang berlaku di mana negara seberang itu ketika itu sedang dilanda krisis ekonomi yang buruk selain berlakunya lambakan filem-filem dari luar negara sebagai pendominasi pasaran.
Prof. Dr. Cheryl Stock yang merupakan Profesor Bersekutu dari Queensland University of Technology, Australia pula misalnya, membangkitkan tentang kedudukan seni persembahan sebagai sebuah industri kreatif dalam sesebuah negara.
Ini kerana, perkembangan seni kreatif di setiap negara tidak sama daripada segi penerimaan masyarakatnya dan juga kedudukannya sama ada ia sudah boleh dikategorikan sebagai sebuah industri ataupun sebaliknya.
Lezaa Zainuddin dari UM pula menekankan peri pentingnya pengurusan sumber manusia dalam usaha untuk memperkembangkan lagi seni dan budaya walau di mana sekali pun.
Pengurusan sumber manusia amat penting terutamanya dalam usaha menyediakan bakat-bakat generasi pelapis dalam seni-seni persembahan yang hampir pupus supaya ia terus dapat dipertahankan pada masa akan datang.
Persediaan itu amat penting memandangkan ketika ini, setiap negara menghadapi masalah yang sama terutamanya usaha untuk menarik minat serta keterlibatan generasi muda bagi menyambung seni warisan bangsa masing-masing supaya ia tidak luput ditelan zaman.
Pembentang kertas kerja yang lain antaranya Prof. Dr. Chommanad Khijkhun dari Rajabhat University, Bangkok menerusi judul Organisasi Pendidikan Seni Persembahan Thai Untuk Industri Kreatif dan Prof. Dr. Richardo Abad dari Atenep University, Filipina dengan Kolaborasi Dalam Pengarahan dan Koreografi.
PACIA 08 yang dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan UM dan mendapat sokongan daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia itu terbuka kepada orang ramai, aktivis seni dan pelajar institusi pengajian tinggi yang mengikuti kursus-kursus dalam bidang tersebut.

Posted by King Faizal

ISU DAN CABARAN DUNIA SENI MALAYSIA


Secara umumnya, isu dan cabaran industri kreatif di dalam negara yang dikenal pasti adalah berkaitan aspek-aspek seperti berikut:
(i) Kerangka Institusi perundangan, penguatkuasaan, pemantauan dan penyelarasan bagi memartabatkan industri kreatif.
Ketiadaan kerangka institusi perundangan merupakan antara cabaran utama dalam membangunkan industri kreatif tempatan. Sebagai contoh industri seni reka fesyen di negara ini tidak dikawal selia oleh mana-mana institusi menyebabkan ketiadaan perancangan yang teliti untuk membangunkannya. Manakala isu penguatkuasaan, pemantauan dan penyelarasan antara agensi juga menjadi salah satu isu yang sering diperkatakan. Sebagai contoh, industri kandungan mempunyai beberapa agensi yang bertanggungjawab seperti Lembaga Penapisan Filem di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Perkara ini tidak berlaku di Singapura yang industri kandungannya berada di bawah tanggungjawab Media Development Authority (MDA) dan di Korea pula peranan ini dilaksanakan oleh Korea Creative Content Agency (KOCCA).
(ii) Kesedaran Terhadap Industri Kreatif
Kurangnya kesedaran terhadap kepentingan dan potensi industri kreatif dalam kalangan masyarakat merupakan antara isu yang dihadapi oleh industri kreatif di negara ini. Masyarakat Malaysia sering memandang rendah kepada mereka yang terlibat dalam industri ini. Malah, masyarakat beranggapan bahawa bidang ini tidak mempunyai nilai ekonomi dan komersial yang tinggi. Imej karyawan di negara ini jauh lebih rendah berbanding dengan bidang-bidang profesional yang lain.
Selain itu, apresiasi masyarakat terhadap nilai estetika kesenian dan kebudayaan juga masih rendah dan sering dipinggirkan. Ini kerana nilai estetika adalah subjektif iaitu pentakrifan terhadap sesuatu karya atau produk, berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain. Oleh itu, karya kreatif sukar dinilai dalam konteks komersial.
(iii) Harta Intelek
Harta intelek merupakan salah satu aspek penting dalam industri kreatif. Pembudayaan harta intelek, yang meliputi kesedaran mempaten dan budaya menghormati harta intelek masih belum dihayati sepenuhnya oleh masyarakat di negara ini. Malah, kesedaran dalam kalangan karyawan dan masyarakat mengenai kepentingan nilai dan manfaat daripada pemeliharaan hak cipta masih rendah. Akibatnya, banyak karya tempatan hilang hak cipta dan peluang meraih pulangan yang sepatutnya.
(iv) Pembangunan Modal Insan
Pembangunan modal insan juga merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi oleh mana-mana bidang yang ingin dimajukan oleh sesebuah negara. Industri kreatif merupakan industri yang unik kerana memerlukan modal insan yang terdiri daripada mereka yang mempunyai minat, bakat dan kebolehan tersendiri. Pada masa ini, negara masih kekurangan modal insan yang terdiri daripada karyawan seni dan pekerja berkemahiran tertentu. Selain itu, kebanyakan karyawan memperoleh kemahiran melalui tacit knowledge.
(v) Teknologi
Kemajuan teknologi memainkan peranan penting dalam memajukan industri kreatif, namun di negara ini perkembangan teknologi tidak dapat digunakan sepenuhnya berikutan kekurangan pengetahuan dan kemahiran. Aplikasi teknologi dalam industri kreatif berada di tahap minimum berbanding dengan keupayaannya yang begitu besar yang memerlukan daya kreativiti dan inovasi yang tinggi. Malah, indigenous knowledge (IK) seperti seni tenunan tidak dapat diurus dengan baik sehingga mewujudkan risiko kemahiran berkenaan pupus ditelan zaman.
logo
(vi) Dana dan Insentif Kewangan
Antara isu lain yang sering diperkatakan oleh penggiat industri kreatif ialah ketiadaan penyelarasan dalam penyediaan dana oleh Jabatan/ Agensi Kerajaan dan institusi kewangan yang mengendalikannya. Sebagai contoh, terdapat beberapa Jabatan/Agensi Kerajaan yang menyediakan bantuan berbentuk dana kepada industri kandungan iaitu MDEC, SKMM dan FINAS. Selain tiada penyelarasan dalam penyediaan dana oleh Kerajaan, industri ini juga turut berdepan dengan cabaran kekurangan pelaburan berikutan risiko yang tinggi. Ini kerana tiada jaminan bahawa karya yang dihasilkan boleh membawa keuntungan dan kejayaan sesebuah karya banyak bergantung kepada faktor-faktor di luar kawal seperti cita rasa penonton yang berbeza antara satu sama lain.
(vii) Pasaran dan Promosi
Bagi memastikan sebuah karya kreatif itu berjaya menembusi pasaran, sama ada tempatan mahupun luar negara, aspek pemasaran dan promosi perlu diberi penekanan. Walau bagaimanapun, industri kreatif di negara ini berhadapan dengan cabaran yang mana peluang keusahawanan oleh karyawan masih tidak jelas dalam konteks pasaran tempatan dan luar negeri. Malah, industri ini berhadapan dengan kekangan kekurangan pakar dalam bidang pemasaran yang mampu mempromosikan dan memasarkan karya-karya kreatif tempatan ke pasaran serantau dan antarabangsa.
(viii) Prasarana
Penyediaan prasarana merupakan tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama oleh pihak Kerajaan dan swasta. Tanggapan umum bahawa prasarana perlu disediakan oleh Kerajaan perlu diubah. Pihak swasta harus digalakkan untuk terlibat secara aktif dalam membangunkan industri ini. Selain itu, kemajuan prasarana secara terasing, kurang penyelarasan dan tidak digunakan secara optimum merupakan antara cabaran dalam membangunkan industri ini.
(ix) Penyelidikan dan Pembangunan
Kekurangan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang kreatif juga merupakan salah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh industri ini. Negara pada masa ini lebih memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan dalam bidang-bidang lain seperti kesihatan dan pertanian. Aspek penyelidikan dan pembangunan yang kurang diberi perhatian akan menyebabkan produk yang dihasilkan tidak mencapai kualiti yang sewajarnya. Pengeluaran melalui kaedah tradisional menyebabkan tiada pengkhususan kemahiran pekerja dan kualiti produk tidak dapat dikawal.
(x) Persaingan
Memandangkan Malaysia merupakan salah sebuah negara di Kepulauan Melayu yang mempunyai latar budaya yang hampir sama, aspek persaingan adalah antara aspek yang tidak dapat dielakkan. Persamaan produk dengan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand mewujudkan persaingan dalam merebut pasaran yang terhad. Sebagai contoh, industri muzik tanah air menghadapi persaingan yang sengit dengan kemasukan karya-karya daripada Indonesia. Selain itu, persaingan dengan produk- produk luar seperti China dan India yang memanfaatkan teknologi mengakibatkan produk tempatan tidak kompetitif untuk menandingi produk luar dari segi kualiti dan harga. Malah, kelemahan penguatkuasaan dan kawal selia yang bersepadu menyebabkan berlaku lambakan produk- produk asing yang menjejas pendapatan karyawan tempatan.
Posted by King Faizal

Contact Form

Name

Email *

Message *

- Copyright © PerSaTuaN PenYoKoNg SeNI MaLaYsIA -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -