- Back to Home »
- Penganjur SwitchOff 14 ‘dihukum industri’, kata Shabery
Posted by : King Faizal
Monday, March 23, 2015
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tidak tahu mengenai penganjuran kempen "SwitchOff 14" oleh gabungan persatuan penggiat televisyen, industri filem dan pengiklanan, sebaliknya berkata mereka yang memilih jalan penyelesaian selain dialog akan “dihukum oleh industri".
Shabery yang ditemui selepas Taklimat Pasca Bajet 2015 kepada Industri Kandungan Digital Kreatif di Angkasapuri, Kuala Lumpur malam tadi berkata, terdapat pelbagai saluran untuk mana-mana pertubuhan industri kreatif melahirkan pandangan mereka kepada kerajaan.
"Kita ada forum industri kreatif, mungkin mereka ada pandangan yang kita boleh bangunkan.
"Kalau ada orang memilih jalan lain daripada dialog dan berbincang, mereka akan dihukum industri itu sendiri bukan kami," kata Shabery kepada pemberita.
Switch Off 14 adalah kempen yang digerakkan presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) Jurey Latiff Rosli bagi membela nasib pekerja industri kreatif tanah air untuk masa depan yang lebih baik.
"Switch off ke switch on dan sebagainya, saya tidak tahu matlamat sebenarnya," kata Shabery.
Switch Off 14 dilancarkan secara rasmi di Kelab Sultan Sulaiman, baru-baru ini bakal mengadakan himpunan pada 11 November depan bagi menyuarakan tidak puas hati mereka terhadap layanan stesen televisyen tempatan terhadap penggiat seni.
Gabungan berkenaan terdiri daripada 10 persatuan penggiat seni tempatan termasuk pelakon, kumpulan krew penerbitan dan pengiklanan.
Berdasarkan rancangan Switch Off 14, mereka juga akan menyerahkan memorandum kepada Putrajaya pada tarikh berkenaan yang mengandungi 11 tuntutan.
Jurey yang ditemui malam tadi berkata, Switch Off 14 dijangka menganjurkan perhimpunan mereka di perkarangan ibu pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada 11 November.
"Kita memikirkan beberapa tempat, tetapi mungkin kita akan buat di dalam Finas. Kita akan hantar surat minta kebenaran.
"Kita harap menteri akan hadir bersama orang industri," kata Jurey kepada pemberita.
Beliau juga optimis perhimpunan yang akan diisi dengan aktiviti kesenian seperti tarian, nyanyian, deklamasi sajak dan puisi itu akan menerima sambutan daripada penggiat seni kreatif tempatan.
"Dalam masa terdekat kita berbincang mungkin adakan pertemuan dari hati ke hati (dengan menteri)," kata Jurey.
Selain kempen di laman media sosial, Switch Off 14 menyeru pengguna televisyen menjimatkan penggunaan elektrik mereka pada 11 November itu dengan tidak menonton televisyen bermula jam 8 malam hingga 11 malam.
Antara mereka yang kelihatan ketika pelancaran Switch Off 14 ialah pelakon terkenal tanah air seperti Fauziah Nawi, Harun Salim Bachik, Imuda, Zed Zaidi dan Norish Karman.
Kumpulan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Finas sebelum ini membantah Switch Off 14 kerana beranggapan demonstrasi bukan tindakan terbaik untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.
"Kita nyatakan masalah dan juga berikan jalan penyelesaiannya.
"Kami tidak menuduh sesiapa yang bersalah, tapi mahu melihat masa depan yang lebih baik untuk industri," kata Jurey.
Antara 11 gesaan Switch Off 14 adalah mewujudkan akta industri kandungan kreatif; menekankan hak harta intelek yang adil dan munasabah; menaikkan kadar harga dengan menyelaraskan harga slot kandungan di stesyen TV; pengagihan slot TV yang lebih adil dengan menekankan 70% kandungan tempatan; dan penguatkuasaan polisi buatan Malaysia dan paducitra.
Selain itu, mereka menggesa kerajaan menubuhkan satu badan atau pusat sehenti yang mengawal selia televisyen secara langsung; melantik wakil industri yang dipersetujui pemain industri dalam peranan membuat dasar industri; menyediakan slot TV khusus berbentuk patriotik; skim pengecualian cukai syarikat korporat yang menaja penerbitan program TV tempatan bagi pembelian peralatan teknikal; skim insurans khusus; dan dana dan geran khusus untuk memajukan industri TV tempatan.
Memorandum berkenaan dijangkal diserahkan kepada Shabery ketika perhimpunan mereka nanti. – 24 Oktober, 2014.

Post a Comment