Posted by : King Faizal Monday, March 23, 2015


Masalah industri kreatif Asia

PENGUASAAN dalam bidang informasi, pengetahuan dan kreativiti kini menjadi fokus utama dalam perkembangan budaya global. Impak daripada kedudukan ini membawa kepada perkembangan teknologi dan industri yang memanfaatkan kemampuan seni manusia.
Sejak pertengahan tahun 1990-an, perkembangan bidang informasi, pengetahuan dan seni turut melahirkan wacana mengenai industri kreatif yang saat ini telah menjadi fenomena global.
Selain di negara maju, perkembangan industri kreatif juga tumbuh secara pesat di beberapa negara membangun seperti China, India, Brazil, Argentina termasuk beberapa negara Afrika seperti Burkina Faso.
Sektor ekonomi kreatif di negara-negara tersebut menyumbang sekitar tiga peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) - satu jumlah yang cukup besar.
Malah, di negara maju seperti Britain dan Belanda, sektor tersebut telah menyediakan peluang pekerjaan hingga 30 peratus menjelang akhir tahun 2004.
Di kedua-dua negara tersebut, peluang pekerjaan dalam sektor industri kreatif mengalami peningkatan mendadak mencecah lebih 35 peratus pada tahun lalu.
Seni kreatif juga menjadi ruang dan peluang perkembangan ekonomi yang cukup berpotensi di negara-negara Asia berikutan peningkatan teknologi komputer dan digital terutama dalam bidang animasi.
Malaysia sendiri menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dalam sektor tersebut. Ia bukan sahaja dalam sektor perfileman, seni suara tetapi juga animasi, kartun serta karya seni tampak.
Oleh itu, industri kreatif secara umumnya yang merangkumi pelbagai cabang seni termasuklah seni persembahan pentas seperti muzik, tarian, teater dan juga seni visual.
Pada hakikatnya, di celah-celah perkembangan pesatnya, industri kreatif sebenarnya sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran semasa sesuai dengan evolusinya yang sentiasa berkembang pesat.
Bagaimanapun, kesemua cabang seni itu terutamanya yang berlatarbelakangkan seni dan budaya setempat (Malaysia) paling banyak berdepan dengan pelbagai cabaran getir dalam usaha pihak-pihak tertentu untuk meneruskan kelangsungan sesuatu kesenian tersebut.
Fenomena itu sebenarnya bukan setakat berlaku dalam dunia kesenian tempatan, tetapi ia juga merupakan masalah global. Bagaimanapun jalan keluar mesti ditemukan. Ia memerlukan anjakan, jalan penyelesaian selain sokongan daripada semua pihak.
Antara masalah yang sering timbul dalam industri ini ialah soal pengurusan, polisi, penyelidikan dan identiti sesebuah kesenian dalam konteks berteraskan seni budaya tempatan yang boleh mengembangkan jati diri masyarakat sesebuah negara.
Persoalan-persoalan dan jalan keluar daripada masalah tersebut merupakan antara perkara yang diketengahkan dalam Persidangan Antarabangsa - Seni Persembahan Sebagai Industri Kreatif di Asia (PACIA 08) yang diadakan di Auditorium Perdanasiswa, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Persidangan yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Chancelor (Pembangunan) UM, Prof. Dr. Khaw Lake Tee itu menampilkan ramai pembentang kertas kerja yang terdiri daripada ahli-ahli akademi dari luar negara bagi membentangkan topik-topik yang berkait rapat dengan permasalahan tersebut.
Prof. Dr. Ghulam Sarwar Yousof dari UM misalnya, cuba mencari jalan keluar kepada polemik akibat pertembungan seni moden dalam kesenian Mak Yong.
Sedangkan menurut Ghulam Sarwar, Mak Yong merupakan cabang kesenian masyarakat Melayu yang mempunyai sejarah serta hubung kaitnya dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
Seni persembahan mula bertapak di alam Melayu sejak era animisme lagi iaitu zaman di mana ketika itu masyarakat Melayu masih bergantung kepada kuasa-kuasa mistik.
Mak Yong bukan sahaja dikategorikan dalam seni persembahan yang agak malap sejak kebelakangan ini, tetapi pada masa sama berlaku pertembungan peradapan yang mengaitkannya dengan unsur budaya dan agama luar terutamanya pengaruh Siam yang cukup kuat.
Prof. Dr. Rahayu Supanggah dari Sekolah Tinggi Seni, Solo, Indonesia dalam kertas kerjanya yang bertajuk Seni Tradisional Dalam Dunia Industri yang antara lain tidak menafikan tentang cabaran globalisasi yang berlaku dalam dunia perfileman di negaranya.
Suatu ketika dulu, Indonesia saban tahun menghasilkan tidak kurang daripada 20 buah filem, tetapi pada tahun 1998 dan 1999 hampir tiada filem tempatan yang dihasilkan di negara itu.
Antara faktor yang mendorong situasi itu ialah ‘putaran ganas’ yang berlaku di mana negara seberang itu ketika itu sedang dilanda krisis ekonomi yang buruk selain berlakunya lambakan filem-filem dari luar negara sebagai pendominasi pasaran.
Prof. Dr. Cheryl Stock yang merupakan Profesor Bersekutu dari Queensland University of Technology, Australia pula misalnya, membangkitkan tentang kedudukan seni persembahan sebagai sebuah industri kreatif dalam sesebuah negara.
Ini kerana, perkembangan seni kreatif di setiap negara tidak sama daripada segi penerimaan masyarakatnya dan juga kedudukannya sama ada ia sudah boleh dikategorikan sebagai sebuah industri ataupun sebaliknya.
Lezaa Zainuddin dari UM pula menekankan peri pentingnya pengurusan sumber manusia dalam usaha untuk memperkembangkan lagi seni dan budaya walau di mana sekali pun.
Pengurusan sumber manusia amat penting terutamanya dalam usaha menyediakan bakat-bakat generasi pelapis dalam seni-seni persembahan yang hampir pupus supaya ia terus dapat dipertahankan pada masa akan datang.
Persediaan itu amat penting memandangkan ketika ini, setiap negara menghadapi masalah yang sama terutamanya usaha untuk menarik minat serta keterlibatan generasi muda bagi menyambung seni warisan bangsa masing-masing supaya ia tidak luput ditelan zaman.
Pembentang kertas kerja yang lain antaranya Prof. Dr. Chommanad Khijkhun dari Rajabhat University, Bangkok menerusi judul Organisasi Pendidikan Seni Persembahan Thai Untuk Industri Kreatif dan Prof. Dr. Richardo Abad dari Atenep University, Filipina dengan Kolaborasi Dalam Pengarahan dan Koreografi.
PACIA 08 yang dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan UM dan mendapat sokongan daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia itu terbuka kepada orang ramai, aktivis seni dan pelajar institusi pengajian tinggi yang mengikuti kursus-kursus dalam bidang tersebut.

Contact Form

Name

Email *

Message *

- Copyright © PerSaTuaN PenYoKoNg SeNI MaLaYsIA -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -